Pages

Showing posts with label fakta tentang islam. Show all posts
Showing posts with label fakta tentang islam. Show all posts

Saturday, 12 October 2013

MATLAMAT HIDUP MANUSIA

Matlamat dan peranan manusia dalam hidup telah dijelaskan oleh akidah Islam sejelas-jelasnya. Manusia tidak dijadikan sia-sia dan tidak dibiarkan begitu sahaja. Ia dijadikan untuk tujuan dan hikmah tertentu. Ia tidak dijadikan untuk dirinya, atau untuk menjadi hamba kepada salah satu unsur dalam alam ini. Ia juga tidak dijadikan untuk berseronok sebagaimana binatang-binatang berseronok. Bukan juga dijadikan untuk hidup beberapa tahun yang pendek atau panjang kemudian ditelan tanah, dimakan ulat dan dimamah kebinasaan.

Sesungguhnya ia dijadikan untuk mengenal dan menyembah Allah serta menjadi khalifah di bumi. Ia memikul amanah terbesar dalam hidup yang pendek ini, amanah taklif dan tanggungjawab. Manusia ditapis dengan dugaan dan digilap dengan tanggungjawab. Dengan itu ia menjadi matang dan bersedia untuk kehidupan yang lain, iaitu kehidupan yang kekal selama-lamanya tanpa penghujung.

Manusia tidak dijadikan untuk dirinya sendiri, tetapi ia dijadikan untuk menyembah Allah. Ia tidak dijadikan hanya untuk hidup di dunia yang kecil dan binasa ini, tetapi ia dijadikan untuk kehidupan yang kekal abadi, ia dijadikan untuk selama-lamanya.

Ada orang berkata: " Si bodoh hidup kerana mahu makan manakala orang berakal makan kerana mahu hidup." Pernyataan ini tidak menyelesaikan masalah kerana hidup itu sendiri bukan satu tujuan, persoalan masih tetap ada, kenapa manusia hidup?

Adapun para materialisme menjawab: " Sesungguhnya manusia hidup untuk dirinya sendiri dan untuk mengecapi nikmat dunia."

Manakala orang yang beriman menjawab: " Manusia hidup hanya kerana Tuhannya yang Maha Tinggi dan untuk hidupnya yang kekal abadi." Firman Allah SWT : " Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah yang menguasai seluruh alam, lagi yang tetap benar." (al-mukminin: 115-116)

Alangkah besarnya perbezaan antara orang yang hidup untuk dirinya dengan orang yang hidup untuk Tuhannya, di antara orang yang hidup di dunia yang terbatas dengan orang yang hidup untuk kehidupan yang tidak terbatas dari segi zaman dan tempat.

Sesungguhnya teori kebendaan yang mengingkari Tuhan tidak pula mengetahui matlamat hidup manusia, kerana matlmat perlu kepada niat dan niat pula perlu kepada orang yang berucap. Sedangkan teori ini menolak manusia itu dijadikan dengan maksud tertentu. Kerana itu manusia pada pandangannya tidak mempunyai tugas dan peranan selain dari bertungkus lumus untuk memenuhi dan memperbaiki kehendak hidup.

Dengan perkataan lain, " manusia hidup kerana perhiasan dunia dan keseronokan, tidak lebih daripada itu. Apabila usia manusia tamat dalam masa yang pendek maka berakhirlah segala-galanya. Alangkah benarnya perkataan al-Quran: " Katakanlah, harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja." (an-nisaa: 77)

Wednesday, 9 October 2013

RUKUN IMAN

Dari segi bahasa Iman membawa maksud percaya, yakin dan membenarkan. Kepercayaan yang terbitnya daripada hati iaitu mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah benar dan datangnya daripada Allah SWT.

PERCAYA KEPADA ALLAH
- Mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa Allah SWT yang mencipta alam ini dan Dia-lah tuhan yang berhak disembah dan ditujukan segala pergantungan hidup.

PERCAYA KEPADA MALAIKAT
- Mempercayai bahawa Allah SWT mempunyai pesuruh-pesuruh yang sentiasa patuh dan taat menjalankan perintah-Nya. Mereka itulah yang disebut malaikat yang bukan manusia dan bukan binatang.

PERCAYA KEPADA AL-QURAN
- Kitab adalah undang-undang dasar yang dijadikan pedoman atau pengajaran kepada manusia yang hendak dipimpin. Kitab diberikan kepada para rasul utusan Allah. Tetapi, bagi rasul-rasul yang tidak mempunyai kitab, wajib bagi mereka mengikut dasar kitab yang terdahulu daripadanya.

PERCAYA KEPADA RASUL
- Allah SWT mewajibkan ke atas setiap orang Islam supaya beriman kepada semua rasul yang telah diutuskan oleh-Nya tanpa membeza-bezakan antara seorang rasul dengan yang lain.

PERCAYA KEPADA HARI KIAMAT
- Antara perkara-perkara yang berhubung dengan hari kiamat adalah bertolak daripada kepercayaan kepada adanya mati, pembalasan alam kubur, azab atau nikmat, hari kebangkitan, padang mahsyar, meniti titian "sirat", syurga dan neraka.

PERCAYA KEPADA QADAK DAN QADAR
- Qadak bererti kejadian, hukum yang terjadi dan yang berlaku pada diri seseorang seperti kaya, miskin, elok, buruk, untung, rugi, hidup, mati, dan sebagainya. Qadar pula bererti ukuran dan sukatan yang ditentukan ke atas tiap-tiap makhluk.

RUKUN ISLAM

Ertinya menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT melalui seluruh kehidupan kita, jiwa raga kita dan harta milik kita sehingga tertegaknya KEISLAMAN yang sempurna.


MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAT
- " Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruhNya " Dengan Syahadatain, kita mengabdikan diri dengan hati sanubari dan dengan pengakuan lidah kita bahawa Tuhan yang Maha Esa itu adalah Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruhnya.

SOLAT LIMA WAKTU SEHARI SEMALAM
- Dengan sembahyang, kita mengabdikan seluruh tubuh badan kita menyembah kepadaNya. Mulai dari lidah membaca, tangan bergerak, mata, telinga dan fikiran terpusat dengan mengikut susunan rukun sembahyang yang diajarkan oleh Nabi SAW.

MENGELUARKAN ZAKAT
- Dengan zakat, kita mengabdikan diri kepada Tuhan dengan menyerahkan sebahagian dari harta milik kita kepada mereka yang berhak menerimanya mengikut agama.

BERPUASA PADA BULAN RAMADHAN
- Dengan berpuasa, kita mengabdikan hawa nafsu dan segala keinginan kita kepada Allah. Dengan menahan nafsu makan dan minum serta menjauhi segala laranganNya, secara tidak langsung akan melahirkan rasa keinsafan di dalam peribadi kita serta meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT.

MENUNAIKAN HAJI
- Dengan mengerjakan haji, kita menyembah Allah dengan harta kekayaan milik kita, dan mengunjungi ke Baitullah kepada mereka yang mempunyai kemampuan sekurang-kurangnya sekali dalam hidup.

Tuesday, 8 October 2013

SOLAT DAN DOA BOLEH ATASI TEKANAN

Apabila  berdepan dengan masalah, lazimnya diri diselubungi tekanan, malah fikiran boleh menjadi bercelaru kerana memikirkan masalah yang tidak berpenghujung. Bagi meringankan tekanan, ada beberapa cara patut diketahui :

1) Bersabar dengan segala masalah yang menimpa. " Wahai anakku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan mungkar, dan bersabarlah atas segala yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara yang dikehendaki melakukannya. " ( Luqman:17 )

2) Anggap masalah itu sebagai satu ujian yang akan meningkatkan keimanan dan ketabahan. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud : " patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : kami beriman , sedang mereka tidak diuji ( dengan sesuatu cabaran ) ? Dan demi sesungguhnya, kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang yang berdusta. " ( al-Ankabuut : 2-3)

3) Setiap masalah ada hikmahnya, seperti dapat menggugurkan dosa. Nabi SAW bersabda maksudnya : " Tidaklah seorang Muslim ditimpa penyakit melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya, seperti pohon menggugurkan daun-daunnya. " ( Hadis riwayat al-Bukhari )

4) Kesulitan, masalah dan kesempitan akan menyedarkan manusia betapa kerdilnya diri sebagai hamba, sekaligus menyedarkan diri akan keagungan dan kekuasaan Allah. " Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata : Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepadaNyalah kami kembali. "  ( al-Baqarah : 156 )

5) Adanya masalah, kesakitan dan kesusahan membolehkan manusia membezakan di antara keselesaan (nikmat) dan kesengsaraan ( bala). Justeru, ketika inilah manusia dapat menjiwai erti kesyukuran.

6) Ujian adalah tanda Allah mencintai seseorang itu. Nabi SAW bersabda, maksudnya : " sesiapa dikehendaki Allah baginya kebaikan, akan diberikan cubaan kepadanya. "  ( Hadis riwayat al-Bukhari )

7) Ingatlah masalah dan kesulitan yang kita hadapi lebig ringan dan lebih kecil daripada masalah yang dialami orang lain.

8) Menyedari hakikat, kehidupan tidak lari daripada masalah, cuma bezanya kecil atau besar masalah dihadapi. Jika masalah kecil bolehlah diselesaikan sendiri dan sekiranya besar, cubalah dapatkan mereka yang lebih berpengalaman untuk berkongsi bersama.

TATKALA TUHAN MENCIPTA MANUSIA

Al-Quran manceritakan peristiwa penciptaan manusia yang  pertama oleh Allah SWT, yakni Adam AS, dalam surah al-Baqarah ,ayat 30-38, seperti berikut:

Dan ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: " Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi," mereka berkata: " Adakah engkau hendak menjadikan di bumi itu makhluk yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih memuji-Mu dan mensucikan-Mu?" Tuhan berfirman: " Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui." (30)

Dan Dia pun mengajarkan Adam akan nama-nama seluruhnya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat, lalu Dia berfirman: " Terangkanlah kepada Aku nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar." (31)

Malaikat berkata, "Maha suci Engkau, kami tidak punyai ilmu selain apa yang Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau jualah yang amat mengetahui lagi bijaksana." (32)

Allah berfirman, " Wahai Adam, terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka." Maka setelah Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: " Bukankah Aku telah katakan kepada kamu bahawa Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?" (33)

Dan ketika kami berfirman kepada malaikat: " Tunduklah kepada Adam," lalu mereka semua tunduk memberi hormat, melainkan iblis. Dia enggan dan takbur, dan jadilah dia dari golongan yang kafir. (34)

Dan kami berfirman: " Wahai Adam, tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah apa sahaja yang kamu berdua suka sepuas-puasnya dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu hampiri) maka akan jadilah kamu dari golongan yang zalim." (35)

Setelah itu syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang meraka berada di dalamnya, dan Kami berfirman: " Turunlah kamu, sebahagian kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain, dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa." (36)

Kemudian Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimat, lalu Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah, Dialah yang amat pengampun lagi amat mengasihani. (37) Kami berfirman: " Turunlah kamu semua dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku nescaya tidak ada kebimbangan bagi mereka dan mereka pun tidak akan berduka." (38)