Pages

Showing posts with label etika dalam kehidupan. Show all posts
Showing posts with label etika dalam kehidupan. Show all posts

Saturday, 12 October 2013

KAWAL PERBUATAN

Etika sebenarnya meliputi keseluruhan diri dan peribadi seseorang. Kita bukan sahaja hanya perlu menjaga tingkah laku ketika di rumah, tetapi sewaktu berada di luar rumah pun kita perlu mengawal diri daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan etika. Berikut ialah beberapa tips yang boleh kita praktikkan ketika keluar bersama teman-teman.

1) Jangan membuang sampah merata-rata. Botol mineral, pembalut gula-gula dan sebagainya haruslah disimpan dahulu bersama sehingga berjumpa dengan tempat yang paling sesuai untuk membuang sampah.

2) Jangan mendengar lagu atau menyanyi sekuat hati . Dengar dan tengok orang sekeliling. Sekiranya kamu mahu mendengar lagu, pakailah alat pendengar dan kamu sahaja yang boleh mendengarnya.

3) Cakap perlahan-lahan dan jangan terjerit-jerit di hadapan orang lain. Tidak perlu berkongsi kisah dengan orang sekeliling yang kamu tidak kenali. Cuba rendahkan nada suara kamu dan hanya berkongsi dengan teman kamu sahaja.

4) Lintas jalan apabila selamat dan gunakan laluan pejalan kaki atau lampu isyarat untuk pejalan kaki. Ketika berjalan di tepi jalan raya, pastikan kamu berjalan yang berhadapan dengan laluan kamu. Ini adalah untuk keselamatan.

5) Cuba jangan jalan mendada dan mengganggu laluan orang lain.

6) Jangan memetik bunga atau dedaun yang ditanam di tepi jalan. Itu bukan hak kamu dan jangan rosakkan alam sekitar dengan tabiat buruk kamu itu.

7) Sekiranya kamu nampak buah-buahan yang tumbuh di tepi jalan, jangan sesuka hati petik dan makan. Pokok yang ditanam di tepi jalan itu bukanlah dudun buah-buahan kamu.

8) Jangan meludah di merata-rata tempat. Bawa sapu tangan atau tisu sekiranya kamu merasakan tekak kamu kurang selesa.

9) Kamu harus peka dengan keadaan sekeliling kamu. Perhatikan laluan trafik yang sibuk, jalan raya yang berlubang atau merekah, sarang tebuan atau pokok yang hampir rebah. Jangan lalu sekiranya kamu merasakan laluan itu kurang selamat. Jangan menyusahkan orang lain.

10) Sekiranya kamu membawa binatang peliharaan kamu keluar berjalan-jalan, jangan biarkan mereka membuang najis merata-rata. Cari tempat yang sesuai dan jangan biarkan suara binatang peliharaan kamu mengganggu ketenteraman orang lain.

11) Sekiranya kamu hendak membuang air kecil atau besar, jangan lakukannya di merata-rata tempat. Gunakan tandas dan basuhlah tangan kamu sebersih-bersihnya selepas selesai. 

DEFINISI ETIKA

Sebagai masyarakat yang bertamadun, kita sebenarnya mempunyai etika tertentu yang perlu diamalkan dalam kehidupan seharian. Bagaimanapun ramai yang menganggap perkara ini mudah dan semua orang sudah tahu mengenainya. Namun hakikat sebenar, tidak ramai yang mempraktikkannya dalam kehidupan sehari-hari. Baik mereka yang sudah berusia emas, dewasa, dan remaja, ramai yang melanggar etika ini tanpa rasa malu, segan dan bersalah.
Apabila kita membicarakan soal etika secara khusus, seseorang itu lazimnya akan melihat dan mengukur dirinya dengan orang lain disekelilingnya. Etika yang juga dipanggil sebagai falsafah moral(moral philosophy) ini menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, membawa maksud prinsip moral (atau akhlak) atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesebuah kumpulan, persatuan dan sebagainya. Etika juga sememangnya sudah wujud seiring dengan kehidupan manusia itu sendiri. Malah dalam sesebuah keluarga pun ada etika tertentu yang perlu dipatuhi. Ianya merupakan satu disiplin yang berkait rapat dengan nilai moral baik dan jahat, betul ataupun salah.